(Atlet Mohamad Ezlan Dahalan raih pingat emas (kanan) dan Maslan Mosrin (kiri) raih pingat Perak dalam acara lompat tinggi/FOTO Sukan IPT)
UBON RATCHATHANI (Thailand), 29 Julai - Skuad Olahraga terus menuai pungutan pingat emas dengan acara padang menjadi lubuk dengan tiga pingat emas berharga di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.
Pingat emas pertama diraih menerusi Sadat Marzuqi Ajisan (baling tukul besi lelaki) dengan merekodkan balingan emas sejauh 56 meter dan Mohamad Ezlan Dahalan dalam acara lompat tinggi lelaki.
Lompatan Ezlan Dahalan berjaya mengangkat atlet dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dengan kalungan pingat emas selepas mencatat 2.10 meter.
Lebih manis, rakan sepasukannya Maslan Mosrin turut meraih pingat Perak bagi acara yang sama dengan ketinggian 2.10 m sekali gus menamatkan saingan di kedudukan kedua.
(Luqman Hakim Ramlan merekodkan lompatan sejauh 7.31 meter/FOTO Sukan IPT)
Manakala dalam acara lompat jauh menerusi Luqman Hakim Ramlan yang merekodkan lompatannya sejauh 7.31 meter sudah cukup untuk menghadiahkan emas buat skuad olahraga.
Secara keseluruhan untuk hari ketiga, skuad olahraga berjaya menuai 3 pingat emas, 6 perak dan 1 gangsa disumbangkan menerusi acara balapan dan padang.
Selepas selesai saingan hari ketiga hari ini, kontinjen negara kini sudah mengumpul 16 emas, 22 perak dan 12 gangsa.