(Larian padu atlet Universiti Malaya, Savinder Kaur Jogindr Singh dengan kepantasan 2 minit 8.85 saat berjaya meninggalkan pencabar dari Vietnam, Thi Ngan Bui KPT)
UBON RATCHATHANI, 29 Julai - Sukan olahraga menghadiahkan tiga butir lagi pingat emas buat kontinjen negara dalam temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Stadium Universiti Sisaket Rajabhat.
Dengan pencapaian itu, skuad olahraga negara telah meraih 8 pingat emas sekali gus melepasi sasaran 6 pingat yang ditetapkan.
Tiga emas berkenaan diperoleh menerusi acara 800 meter lelaki dan wanita serta larian 3,000 meter berhalangan.
Larian padu atlet Universiti Malaya, Savinder Kaur Jogindr Singh dengan kepantasan 2 minit 8.85 saat berjaya meninggalkan pencabar dari Vietnam, Thi Ngan Bui di tempat kedua dan wakil Indonesia ketiga.
Ia emas pertama buat Savinder selepas membuat penampilan kali kedua di temasya ini.
Dalam acara lelaki pula, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari memastikan skuad olahraga menambah pingat dengan catatan terpantas, 1 minit 54.82 saat.
(Wan Muhammad Fazri Wan Zahari memastikan skuad olahraga menambah pingat dengan catatan terpantas, 1 minit 54.82 saat/)
Meskipun diasak hebat wakil Indonesia dan Thailand, Fazri kekal tenang untuk memastikan emas milik negara.
Manakala Daren James Nair Rodney James berjaya menceriakan kem negara dengan emas ketiga selepas terlebih dahulu melepasi garisan penamat dengan catatan masa 9 minit 43.02 saat.
Atlet Newton International College itu tidak menyangka penyertaan pertamanya di Sukan Universiti ASEAN diserikan dengan kejayaan meraih emas untuk kontinjen negara.
"Saya tidak jangka emas ini memandangkan lawan saya adalah atlet Sukan SEA dan juga saya pertama kali mewakili Malaysia. Rasa satu penghormatan mewakili Malaysia, semua hasil usaha saya terutamanya jurulatih Arul Thevar berasal dari Semenyih, pengorbanan dia tidak sia-sia" kata Daren ketika ditemui RTM di lokasi kejohanan.
Selepas ini Daren akan beraksi dalam acara larian 5,000 meter.