(FOTO BERNAMA)
BANGKOK, 29 Julai - Skuad sepak takraw lelaki kebangsaan menempah tiket ke final acara beregu selepas menewaskan Indonesia di Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 malam ini.
Pada aksi separuh akhir, gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi serta Muhammad Afifuddin Mohd Razali mencatat kemenangan 21-11, 18-21, 21-17.
Beregu negara bermula baik apabila mengungguli set pertama dengan 21-11 sebelum pasangan Indonesia bangkit memberi tentangan sengit mengikat kedudukan 18-18 sebelum menang set kedua 21-18.
Pada set penentuan, Noraizat dan Aidil memperbaiki corak permainan untuk menoktahkan kemenangan 21-17.
Gandingan negara akan berdepan Laos di pentas final pada Ahad.
Jurulatih kebangsaan Mohd Rashidi Nordin berpuas hati dengan corak permainan anak buah walaupun mendapat tentangan sengit dari pasukan Indonesia.
“Prestasi pemain-pemain Malaysia telah menunjukkan sedikit penurunan pada penghujung perlawanan… mereka seolah-olah tidak yakin. Namun, mereka bertahan dan berjaya mencatatkan kemenangan,” katanya.
Kemenangan skuad negara hari ini, membalas dendam kekalahan tipis pada final Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas.
Bagaimanapun, nasib berbeza buat kem wanita negara yang dibarisi Siti Norzubaidah Che Ab Wahab dan Nur Fatihah Sharudin serta Kamisah Khamis.
Gandingan negara terkandas di separuh akhir apabila tewas kepada pasangan Indonesia 21-14, 21-12. -BERNAMA
(Kamisah Khamis (kiri) dan Siti Nor Zubaidah Che Wahab kandas dalam separuh akhir beregu wanita)