KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Hampir 200 peserta terlibat dalam program Youth Career, Suhaz Open Tournament yang berlangsung selama tiga hari.
Program dianjurkan bersama Suhaz Esport dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini dilihat menjadi platform terbaik untuk bakat baharu menceburi bidang e-sukan secara profesional.
Pengurus Pasukan Suhaz, Mohd Nur Firdaus Mohd Konsul, berkata sambutan diterima pihaknya amat menggalakkan dengan lebih 30 pasukan terdiri daripada anak muda yang mencuba nasib.
"Sebab sambutan yang mengalakkan, kami bercadang mengembangkan program ini dengan menjelajah dari peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan.
"Daripada pertandingan ini kami telah mengenal pasti beberapa pemain untuk diserapkan ke dalam pemilihan Suhaz untuk musim depan," katanya kepada pemberita semalam.
Bakat baharu daripada kejohanan itu berpeluang menyertai skuad utama Suhaz yang bermain dalam Liga Profesional Malaysia, (MPL).
Suhaz Esport bukan nama asing dalam arena e-sukan khususnya permainan Mobile Legend Bang-Bang dengan pencapaian terbaik menduduki tempat kedua MPL musim keenam.