fb fb fb fb fb

PSM sasar kekal rentak cemerlang skuad takraw negara

Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Januari - Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan terus mengukuhkan program pembangunan bakat di peringkat akar umbi sebagai antara usaha memastikan rentak kecemerlangan skuad sepak takraw negara.

Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selain itu PSM juga akan melibatkan lebih ramai pemain muda dari seluruh negeri, meningkatkan tahap profesionalisme pasukan kebangsaan serta melakukan inovasi dalam sains sukan dan analisis taktikal.

“Kejayaan 2025 bukan penamat. Kita mahu memastikan bahawa kejayaan hari ini akan melahirkan juara masa depan. Sesungguhnya, mengekalkan kejuaraan lebih sukar daripada mencapai kejuaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Datuk Mohd Sumali mengakui cabaran lebih besar bakal dihadapi skuad sepak takraw negara bagi tahun ini.

Justeru, beliau meminta semua pihak yang terlibat untuk melipatgandakan usaha mereka bagi mengekalkan kecemerlangan yang diperoleh sebelum ini.

“Dengan semangat kebangsaan yang tinggi, saya yakin Malaysia mampu terus menyaingi kuasa besar serantau, memperkasakan kedudukan sepak takraw di pentas dunia serta mengangkat martabat sukan warisan ini ke tahap lebih tinggi.

“Marilah kita terus berganding bahu sebagai satu keluarga demi sukan, demi negara,” katanya.

Tahun lepas skuad sepak takraw negara berjaya menampilkan aksi yang cemerlang apabila berjaya meraih beberapa kejayaan termasuk juara acara regu di Piala Asia selain menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas dalam acara regu berpasukan di Sukan SEA Thailand - BERNAMA

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD