fb fb fb fb fb

Anthony Joshua dibenar keluar hospital

Petinju Britain, Anthony Joshua, yang tiba bagi pertarungan heavyweight bukan kejuaraan menentang Jake Paul di Miami pada 19 Dis 2025, cedera dalam kemalangan maut di Lebuhraya Lagos-Ibadan pada 29 Dis 2025/REUTERS

LONDON, 1 Januari - Bekas juara tinju heavyweight dunia dari Britain, Anthony Joshua dibenarkan keluar dari hospital selepas cedera dalam kemalangan jalan raya di Negeri Ogun, Nigeria, yang mengorbankan dua rakan rapatnya.

Kerajaan Negeri Lagos dan Ogun dalam satu kenyataan pada Rabu (31 Dis) memaklumkan Joshua dibenarkan pulang pada lewat petang selepas disahkan stabil untuk menjalani pemulihan di rumah.

“Anthony Joshua dibenarkan keluar dari hospital lewat petang ini. Walaupun berdukacita dan sarat emosi atas kehilangan dua rakan karibnya, beliau disahkan (secara klinikal) cergas untuk berehat dan pulih di rumah,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di platform X.

Joshua, 36, mengalami kecederaan ringan apabila kenderaan yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta lain pada Isnin (29 Dis).

Kemalangan itu mengakibatkan dua rakan rapat serta anggota pasukannya terkorban di tempat kejadian.

Pihak berkuasa tempatan masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Insiden berkenaan mencetuskan ucapan takziah daripada peminat dan komuniti sukan antarabangsa terhadap Joshua dan keluarga mangsa.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD