KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) bakal melakukan beberapa perubahan dalam usaha memperbaiki pencapaian skuad kebangsaan pada Sukan SEA dan Sukan Asia tahun depan.
Antaranya ialah melantik jurulatih baharu dari Eropah, mewujudkan pangkalan latihan di Konya, Turkiye serta penganjuran kejohanan Terbuka Malaysia dalam usaha meningkatkan prestasi atlet negara, dengan sasaran meraih sebutir emas di Sukan Asia Hangzhou, September tahun depan.
Setiausaha Agung Makaf Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa calon jurulatih dari Eropah, yang akan dilantik selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Exco Makaf.
“Kita pilih (jurulatih) Eropah kerana kebanyakan pertandingan Persekutuan Karate Dunia (WKF) akan berlangsung di Eropah. Atas faktor itu juga, kita nak jadikan Turkiye sebagai pangkalan latihan atlet kita.
“Ia akan menjimatkan masa perjalanan lebih 10 jam tidak termasuk transit ke negara lain dan beri keselesaan untuk atlet kita (kerana tak perlu pulang ke Malaysia di antara kejohanan). Dari Turkiye, mereka boleh pergi ke Eropah dengan mudah menaiki pengangkutan seperti tren,” katanya pada satu sidang media.
Nur Azmi berkata jurulatih yang bakal dilantik itu, dijangka memulakan tugas selepas Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 22 Jan tahun depan, supaya mempunyai masa untuk mempersiapkan pasukan ke Sukan SEA Kemboja dari 5-16 Mei dan Sukan Asia 2022 bermula 23 Sept hingga 8 Okt.
Beliau berkata kejohanan Terbuka Malaysia pula, dirancang untuk diadakan pada awal tahun depan di Melaka.
“Kita nak menjadi tuan rumah kejohanan Karate 1 Serie A pada 2023, tetapi tidak dapat kerana terlalu banyak negara, mungkin tahun berikutnya baru dapat slot. Namun, kita tetap nak menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa menerusi Terbuka Malaysia untuk memberi peluang dan pendedahan kepada atlet kita,” katanya.
Sementara itu, Nur Azmi menyifatkan pemilihan Presiden Makaf Tun Mohd Ali Rustam sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif WKF bagi penggal 2022-2026 ketika Kongres WKF di Konya pada minggu lepas, sebagai pengiktirafan besar buat arena karate negara.
“Ini merupakan kali pertama wakil Malaysia dipilih menyandang jawatan itu dengan lebih 90 negara mengundi. Jawatan itu, sebelum ini dikuasai negara-negara besar, ini adalah kejayaan besar buat Makaf,” katanya. - BERNAMA