PUTRAJAYA, 26 November- Datuk Seri Subahan Kamal mempertahankan jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi yang disandangnya itu dalam Mesyuarat Agong Tahunan ke-69.
Jawatankuasa Perundangan MHC mengesahkan perkara tersebut sekali gus menyaksikan beliau terus menjadi presiden untuk penggal 2023-2027.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden (lelaki) disandang Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak manakala Timbalan Presiden (wanita) disandang Mary Sadiah Zainuddin setelah Jagadish Chandra Bipin Chandra tidak bertanding manakala Prof Datuk Dr S. Shamala telah melepaskan jawatan itu pada Januari lepas.
Hanya lima jawatan Naib Presiden lelaki menyaksikan perebutan pada kali ini dalam pertandingan enam penjuru, yang dimenangi S. Ganesan dan Shurizan Mansor (masing-masing 26 undi), Datuk Mohd Saiyuti Abd Samat (25), Hasnizam Hassan (23) serta Datuk Seri Anil Jeet Singh (15) manakala dua kerusi bagi wanita menjadi milik Rogayah Mohamad dan Zaililah Md Tahir, yang menang tanpa bertanding.
Pada sidang media, Subahan menyatakan matlamat dan sasarannya sudah tentu untuk menambah baik skuad negara dan memperbanyakkan program akar umbi.
"Apa pun saya rasa tanggungjawab kita di MHC masih banyak diperlukan, termasuk Kelayakan Olimpik untuk skuad lelaki di Oman pada Januari manakala kelayakan wanita di Valencia.
“Pemain perlu memahami bahawa ia bukan sahaja tugas kami (pengurusan), tetapi tanggungjawab mereka perlu bertenaga apabila beraksi dalam mana-mana kejohanan utama. Tak pernah ada masalah gaji, kami juga membayar gaji kepada jurulatih dan pemain, saya berani cakap beberapa jurulatih kita dibayar setinggi bayaran kepada jurulatih bola sepak, gaji sangat tinggi, malah pemain dibayar dengan baik oleh kami dan kelab dalam liga,"katanya.
Tambah Subahan, MHC berbangga dengan peningkatan dipamerkan skuad muda negara dalam pukulan sudut penalti selepas mendapat sentuhan entuhan pakar sudut penalti dari Australia, Chris Ciriello bagi persediaan Piala Dunia Remaja 2023 Kuala Lumpur bermula 5 Disember ini.
Untuk rekod, skuad Young Tigers menampilkan aksi kurang memberangsangkan apabila menutup kempen Piala Sultan Johor (SOJC) di tempat ketujuh daripada lapan negara bertanding pada Oktober lepas.