fb fb fb fb fb

Ong Kim Swee, ganti mendiang B Satianathan, jadi Presiden PJBM

Datuk Ong Kim Swee pada sidang media selepas Kongress Tahunan PJBM bagi penggal 2022-2026

KUALA LUMPUR, 26 November- Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dipilih sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi menggantikan mendiang B Satianathan pada Kongres Tahunan PJBM bagi penggal 2022-2026.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden PJBM dan pemangku presiden menang tanpa bertanding sekali gus menyaksikan kekosongan kerusi nombor dua itu diisi Mohd Asri Ninggal.

Dalam pada itu Datuk Ong Kim Swee menyifatkan tugasan berkenaan bukanlah satu tanggungjawab yang mudah khususnya bagi mengendalikan persatuan besar dalam kalangan jurulatih tempatan.

"Kita juga mempunyai barisan exco baharu yang juga mempunyai perancangan yang tersendiri di mana ini penting untuk memastikan; yang pertama kebajikan jurulatih tempatan dititik beratkan, kita mempunyai isu-isu yang timbul selama ini dan kita ingin pastikan satu formula terbaik antara MFL dan juga FAM bagi memastikan para jurulatih diberikan sesuatu yang sepatutnya kita terima,"katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas selesai majlis Kongres Tahunan PJBM bagi penggal 2022-2026 di Tabung Haji, Kelana Jaya yang berlangsung semalam.

Namun bekas pengendali skuad kebangsaan itu percaya gandingan yang seimbang dari segi jurulatih senior dan kehadiran jurulatih muda dapat menjayakan agenda yang dirancang bagi meningkatkan taraf jurulatih tempatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE