BOLOGNA, 21 November - Sepanyol mengetepikan Republik Czech untuk mara ke separuh akhir Piala Davis selepas pertarungan sengit di Bologna pada Khamis (20 November).
Sepanyol, tanpa Carlos Alcaraz yang terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat kecederaan, tewas dalam perlawanan pembukaan apabila pemain perseorangan Republik Czech, Jakub Mensik menang bergaya 7-5, 6-4 ke atas Pablo Carreno Busta.
Namun, Sepanyol menyamakan kedudukan melalui Jaume Munar, yang mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Jiri Lehecka 6-3, 6-4 sekali gus membawa ke perlawanan penentuan membabitkan acara beregu.
Kapten Republik Czech, Tomas Berdych, menukar barisan beregunya dengan memasukkan Mensik untuk bergandingan dengan Tomas Machac.
Strategi itu bagaimanapun tidak menjadi apabila pasangan beregu Sepanyol, Marcel Granollers dan Pedro Martinez menang 7-6(8), 7-6(8) dalam perlawanan sengit.
Sekali gus, memastikan kemenangan Sepanyol dan tempat ke separuh akhir, di mana mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara Argentina dengan Jerman. -REUTERS