ZURICH, 21 November - Juara Piala Dunia sebanyak empat kali, Itali akan berdepan Ireland Utara dalam aksi separuh akhir 'playoff' zon Eropah bagi kelayakan Piala Dunia 2026, manakala Ukraine pula akan bertemu Sweden yang dibarisi bintang-bintang utama.
Itali akan menentang Ireland Utara pada 26 Mac tahun depan di venue di Itali yang masih belum ditetapkan, selepas undian dibuat di Zurich, Switzerland pada Khamis.
Lima hari kemudian, pemenang perlawanan itu akan menentang pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Wales dengan Bosnia-Herzegovina.
Itali masih berpeluang untuk layak ke Piala Dunia buat pertama kali sejak edisi 2014 di Brazil, selepas gagal layak pada 2018 dan 2022.
Berdepan Azzurri pastinya cabaran besar buat Ireland Utara, yang hanya menang sekali dalam 11 pertemuan dengan Itali, dan itu berlaku pada tahun 1958.
Jurulatih Itali, Gennaro Gattuso berkata: “Mari fokus pada perlawanan pertama. Ireland Utara ialah pasukan yang boleh kami tewaskan.
“Mereka pasukan yang mempunyai gaya tersendiri, mereka sangat fizikal. Mereka akan memberi tentangan hebat tetapi kami mampu mengatasinya.
“Kami tahu mengenai Wales dan Bosnia, dan bermain di Cardiff sukar untuk sesiapa sahaja, tetapi buat masa ini mari fokus pada separuh akhir.”
Sementara itu, Ukraine yang sedang bergolak akibat perang akan menentang Sweden, yang mungkin dibarisi penyerang Liverpool bernilai £125 juta, Alexander Isak, serta penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres.
Namun Sweden tampil hambar dalam kelayakan, menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan, dan hanya layak ke 'playoff' berdasarkan prestasi dalam Liga Negara Eropah.
Jurulatih baharu Sweden dari England, Graham Potter yang juga bekas pengendali Brighton dan Chelsea berdepan tugas sukar untuk membawa Sweden ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Potter berkata, Sweden mempunyai “peluang yang hebat”.
“Kita perlu pastikan kita berada dalam keadaan terbaik. Kita perlu memanfaatkan masa dengan bijak,” katanya.
Pemenang perlawanan antara Ukraine dengan Sweden akan berdepan pemenang perlawanan antara Poland dengan Albania.
Albania sendiri menyimpan hasrat layak ke pentas bola sepak terbesar dunia itu buat pertama kali. - AFP