fb fb fb fb fb

Kes penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dibawa ke CAS - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, hari ini/ RTM

KUALA LUMPUR, 20 November - Kes penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kini dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Keputusan itu dibuat selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan keputusan asal mengenakan denda kira-kira RM1.8 juta ke atas FAM serta penggantungan 12 bulan terhadap pemain terlibat dengan masing-masing turut dikenakan denda sebanyak RM10,500.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan perkara itu ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, hari ini.

“Reputasi bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa sedang diuji, dan sebarang tindakan tergesa-gesa berisiko menjejaskan kedudukan negara.

“FAM mengesahkan dalam kenyataan rasmi bertarikh 18 November bahawa mereka akan memulakan proses untuk membawa kes yang melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di bawah Code of Arbitration for Sport," katanya.

Beliau turut merujuk kepada laporan siasatan bebas oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Muhammad Raus Sharif yang meneliti prosedur dalaman FAM berhubung dokumen tujuh pemain.

Laporan itu bertujuan memastikan kegagalan serupa tidak berulang beserta cadangan tindakan sewajarnya.

Jelasnya, kepentingan laporan itu juga selari dengan Perenggan 246, Laporan Jawatankuasa Rayuan FIFA.

"Jadi sekarang ini ada dua perkara, dua proses yang sedang berlangsung. Satu, skop siasatan, pada ketika ini jawatankuasa ingin menekankan bahawa ia tidak dapat mengenal pasti penjelasan yang munasabah bagi kejadian yang berlaku antara penyerahan dokumen oleh para pemain dan kehadiran ibu bapa mereka mewakili Malaysia.

"Ini memandangkan kedua-dua pihak, pemain mahupun FAM, tidak mengambil sebarang langkah untuk memberikan penjelasan tersebut. Malah, selepas beberapa bulan, identiti pemalsu masih tidak diketahui," jelas beliau.

Menjelaskan lebih lanjut, Hannah memaklumkan laporan siasatan dijangka siap dalam beberapa minggu dan akan menjadi asas bagi tindakan lanjut pihak berkuasa.

Beliau menegaskan, KBS akan terus menumpukan usaha memartabatkan sukan negara, memastikan peluang saksama bagi belia, dan membina asas kepimpinan serta semangat kecintaan terhadap sukan di semua peringkat.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN