fb fb fb fb fb

India juara Piala Mirnawan 2023

Pasukan India menentang Afrika Selatan dalam Piala Mirnawan 2023 di Stadium Hoki Kuala Lumpur malam tadi/ FB NHDP

KUALA LUMPUR, 26 November- India muncul juara Piala Mirnawan 2023 selepas menumpaskan Afrika Selatan 4-3 di Stadium Hoki Kuala Lumpur malam tadi.

Tempat ketiga menjadi milik Malaysia Speedy Tigers (A) selepas mengetepikan Australia All Star 4-3 menerusi penentuan shoot-out pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat. 

Bagi kategori wanita pula tempat pertama dimiliki Australia All Star selepas menundukkan skuad Jepun 2-0, manakala tempat ketiga berpihak kepada India yang menewaskan Afrika Selatan 2-0. 

Penyelaras Teknikal Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), S. Velappan berkata NHDP sedia menganjurkan piala berprestij berkenaan untuk tahun depan dan akan datang.

Ia dalam misi memastikan pelapis hoki negara terdedah dengan kejohanan antarabangsa. 

"Kami ingin menjadikan Piala Mirnawan seperti Piala Sultan Johor yang akan dianjurkan setiap tahun, ia sangat penting untuk memberi pendedahan terutamanya kepada pemain muda wanita negara," katanya.

Piala Mirnawan dianjurkan sejak tahun lepas oleh NHDP bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersempena nama bekas pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

Kejohanan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemain muda hoki negara di bawah 17 tahun terhadap kejohanan antarabangsa. 

Kejohanan Mirnawan Cup telah membuka tirai pada 18 November lalu dengan penyertaan sebanyak 11 pasukan dari lima buah negara.

ZEHRA BINTI ZAMBRI