fb fb fb fb fb

Terbuka Australia: Tiga wakil negara mara ke suku akhir

Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 November - Tiga wakil Malaysia termasuk beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan kemaraan ke pusingan suku akhir Terbuka Australia 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.

Pada pusingan kedua yang berlangsung di Sydney Olympic Park, Tang Jie-Ee Wei selaku pilihan utama kejohanan tidak berdepan masalah untuk menewaskan gandingan Taiwan Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh 21-16, 21-14, sekali gus akan bertemu rakan senegara Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan.

Pasangan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menewaskan gandingan Denmark Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer 21-11, 21-16, bagi menempah pertemuan menentang Raymond Indraa-Nikolaus Joaquin dari Indonesia.

Terdahulu, Raymond-Nikolaus menyingkirkan satu lagi beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dalam laluan ke suku akhir.

Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan slot ke suku akhir dengan menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-23, 21-17, 21-10.

Pilihan kedua kejohanan itu dijadual bertemu gandingan profesional gabungan dua negara, Goh V Shem-Choi Sol Gyu. -BERNAMA

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN