LABUAN, 25 November- Pertandingan Memanah Berkuda Antarabangsa Labuan 2023 julung kali diadakan di wilayah itu, khususnya di borneo dengan penyertaan membabitkan peserta tempatan dan luar negara.
Pertandingan dianjurkan Sadad Equestrian Labuan dengan kerjasama Persekutuan Memanah Berkuda Malaysia.
Pengerusi Sadad Equestrian Labuan merangkap pengerusi penganjur Nazri Ibrahim berkata, penganjuran kali ini mendapat penyertaan dari Australia, Brunei dan Indonesia selain peserta tempatan dari Sabah, Sarawak, Semenanjung dan tuan rumah Labuan.
Beliau berkata, pertandingan pada kali ini diadakan di pesisiran pantai dengan menggunakan format pertandingan peringkat antarabangsa.
"Insya-Allah mungkin dengan ada peserta tempatan dengan gabungan daripada pasukan antarabangsa diharap kita dapat berlatih dan berkongsi pengalaman.
"Kita mungkin ada kesempatan untuk menghantar ataupun dapat ilmu untuk lebih maju ke peringkat antarabangsa,"katanya.
Tambah beliau, selain acara utama memanah berkuda, terdapat acara sampingan turut diadakan iaitu pertandingan memanah tradisional.
Katanya, secara keseluruhan hampir 100 orang menyertai menyertai kesemua acara pertandingan itu.
Dalam pada itu, kejohanan berkenaan akan diadakan setiap tahun dan dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Labuan.