TOKYO, 20 November - Harapan untuk memburu pingat emas buat negara kembali bersinar selepas beregu campuran Malaysia, Edmund Teo–Boon Wei Ying berjaya mengesahkan slot separuh akhir badminton Deaflympics 2025 di Keio Arena Tokyo.
Pasangan pilihan keempat itu tidak berdepan masalah menundukkan wakil Taiwan, Cheng Chen Ding–Fan Jung Yu dengan kemenangan straight set 21-16, 21-11 dalam masa 35 minit permainan.
Kejayaan tersebut hadir ketika kem negara kehilangan satu lagi sumber emas selepas penyandang juara, Wei Ying–Foo Zu Tung, tersingkir awal di suku akhir.
Pasangan pilihan utama itu mengejutkan ramai apabila tewas kepada wakil China, Jiang Jialei -Zhang Heng Yan, 13-21, 8-21.
Kekalahan itu turut memberi kesan kepada sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) melalui acara beregu wanita, beregu campuran dan boling berpasukan lelaki.
Menurut Edmund, fokus utama mereka kini adalah menjaga konsistensi permainan selain meminimumkan kesilapan dalam pertemuan penentuan itu.
"Kami cuba buat yang terbaik untuk Malaysia dan mengikut gerak strategi jurulatih supaya dapat mengekalkan rentak permainan. Tekanan itu memang ada, tetapi kami cuba kekal tenang dalam setiap mata.
"Kami mahu buktikan bahawa kami mampu pergi lebih jauh dan berjuang sampai dapatkan pingat untuk negara." katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Malaysia bakal berdepan cabaran berbeza apabila bertemu pemenang satu lagi suku akhir yang melibatkan pasangan Korea Selatan, Shin Kyungduk–Park Min Kyeong, bagi perebutan tiket final.
Aksi separuh akhir dan final dijadualkan berlangsung esok.
Edmund-Wei Ying sebelum ini meraih pingat perak pada edisi 2021 di Brazil selepas tewas kepada pasangan India, Abhinav Sharma-Jerlin Jayaratchagan.