SAO PAULO, 25 November- Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang menyerang presiden dan pemainnya dengan kata-kata perkauman.
Tindakan itu dibuat selepas terdapat pengguna media sosial yang menyiarkan komen di laman Instagram CBF memanggil pemain kulit hitam sebagi 'monyet' dan presiden CBF Ednaldo Rodrigues, yang mempunyai keturunan Orang Asli, seorang 'India'.
CBF "akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah ini," katanya dalam satu kenyataan.
"Kami akan mengambil semua langkah yang perlu setiap kali serangan sedemikian berlaku, tanpa jeda. Perjuangan menentang diskriminasi adalah salah satu fokus terpenting kami."
CBF berkata ia juga melaporkan insiden itu kepada Instagram, FIFA dan konfederasi bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL, serta polis di Brazil, di mana ucapan kebencian perkauman adalah jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.
Mesej perkauman itu ditulis sebagai tindak balas kepada siaran CBF mengenai dua kekalahan baru-baru ini kepada Argentina: kekalahan 1-0 untuk pasukan lelaki senior dalam kelayakan Piala Dunia 2026 Selasa, dan kekalahan 3-0 pada suku akhir Piala Dunia bawah 17 tahun Jumaat.
Ia adalah yang terbaharu dalam siri insiden perkauman yang melibatkan pemain Brazil, termasuk bintang Real Madrid, Vinicius Junior, yang telah mengalami banyak serangan serupa di Sepanyol, dan rakan sepasukannya Rodrygo, yang berkata dia juga menjadi sasaran dengan kata-kata perkauman di media sosial selepas kekalahan pada Selasa.
Perlawanan itu adalah kekalahan pertama Brazil di tempat sendiri dalam kelayakan Piala Dunia yang turut dicemari oleh pergaduhan besar-besaran di stadium antara penyokong lawan, yang menyaksikan perlawanan terpaksa ditangguh kira-kira 30 minit.-AFP