fb fb fb fb fb

Liga Super: Sang Badak buat Skuad Penyu menangis lagi

FOTO Sabah Football Club

KUALA NERUS, 25 November- Terengganu FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewa 0-4 kepada Sabah FC pada aksi Liga Super malam semalam.

Kemenangan Sabah FC itu menyaksikan Sang Badak ceria membawa pulang tiga mata untuk mengumpul 48 mata hasil 24 perlawanan sekali gus berada di kedudukan keempat liga.

Pelawat membuka tiari jaringan seawal minit keenam, menerusi jaringan  Ramon Machado yang menyambar hantaran silang Mohd Rizal Mohd Ghazali dalam kotak penalti.

Tidak lama selepas itu, TFC sekali hampir dibolosi menerusi percubaan tendangan bola leret kapten Sang Badak, Park Taesu. 

Gol kedua Sabah FC menyusul pada minit ke-30 menerusi pemain lincah dari Indonesia, Saddil Ramdani yang terlebih dahulu berjaya memperdaya dua pertahanan tuan rumah dengan larian pantasnya sebelum melepaskan rembatan bola dibawanya itu melepasi jangkauan penjaga gol TFC Mohd Suhaimi Husin. 

Minit ke-40 kelekaan barisan tuan rumah sekali lagi dihukum, apabila pelawat memperoleh gol ketiga menerusi Miguel Cifuentes.

Ketiadaan empat pertahanan utama TFC iaitu Shahrul Nizam Roshasni, Alif Zakaria, Safwan Mazlan dan Azam Azmi yang tidak dapat diturunkan ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner terus dimanfaatkan oleh pasukan pelawat.

Selepas rehat, Sabah FC memperolehi gol keempat menerusi pemain gantian Jafri Firdaus Chew yang menggantikan Saddil Ramdani.

Hujan lebat menyebabkan TFC sukar untuk merubah permainan sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Sabah FC menang 4 gol tanpa bolos di Gong Badak.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Ketua Jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner mengakui terpaksa menerima kekalahan berikutan kehilangan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan dan situasi itu merencatkan percaturannya kali ini.
 
Apalagi, dalam tempoh terdekat TFC akan berkunjung ke gelanggang lawan bagi perlawanan Piala AFC 2023 kumpulan menentang Central Coast Mariners di Australia.

"Shahrul Nizam kini sedang mengalami kecederaan otot betis, pemulihan bakal ambil masa lama, begitu juga dengan Aliff Zakaria. Safwan Mazlan, Azam Azmi, kesemua mereka mungkin memerlukan rehat beberapa bulan akibat kecederaan.

"Sudah pasti situasi ini tidak bagus untuk pasukan saya, tetapi apa lagi yang boleh saya lakukan, saya sudah atur segala yang terbaik buat masa ini, kata Steinbruckner.

Sementara itu bagi Ketua Jurulatih Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee berkata, tiga jaringan pada separuh masa pertama memberi kelebihan kepada pasukannya.

Ditambah kesefahaman beberapa pemain seperti pemain berpengalaman Rizal Mohd Ghazali yang mempamerkan aksi cemerlang dengan membantu membuka ruang kepada rakan untuk menjaringkan gol.
 
Oleh itu, beliau berharap momentum itu dapat diteruskan dalam kejohanan Piala AFC peringkat kumpulan yang dilihatnya sangat penting untuk memperoleh keputusan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya.
 
"Apa perlu yang kita lakukan adalah fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Selepas ini kita akan bermain dalam Piala AFC di mana ia adalah perlawanan yang amat penting, di Singapura dan selepas itu kita kembali ke saingan liga dan ini juga penting.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini dan pemain harus kekalkan momentum yang telah kita lalui selepas bermain dengan pasukan Haiphong tempoh hari untuk memastikan kita berakhir dengan satu situasi yang lebih baik,"menurut Kim Swee.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE