KUALA LUMPUR, 26 November- Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari terus memperagakan aksi berkelas dunia apabila menjuarai saingan Terbuka Hong Kong, semalam.
Atlet berusia 24 tahun itu menumpaskan pilihan keempat dari Mesir, Amina Orfi 3-0 pada aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Skuasy Hong Kong.
Beliau menyatakan kegembiraan apabila berjaya merangkul gelaran juara itu dan berusaha akan mempertahankan prestasi cemerlang ini.
"Sepanjang minggu ini saya rasa sedikit gementar pada pusingan pertama, saya rasa tidak selesa tetapi setiap hari permainan saya bertambah baik dan membawa kemajuan.
Saya amat gembira terutamanya dapat mengatasi pemain berbakat seperti (Amina) ," kata atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menerusi klip audio dikongsikan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di laman X.
Dalam saingan itu Sivasangari bermula garang apabila memenangi set pertama 11-9 ke atas lawan yang juga bekas juara remaja dunia dua kali itu sebelum meneruskan penguasaan di set kedua menerusi kemenangan 11-8.
Sivasangari yang menghuni ranking ke-22 dunia memastikan gelaran juara menjadi miliknya dengan mengesahkan kemenangan 11-5 di set ketiga.
Sebagai rekod, ini adalah gelaran kedua Sivasangari dalam Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional) selepas turut menjuarai Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2023 di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos lalu, selain turut menyumbangkan pingat emas dalam acara perseorangan di Sukan Asia Hangzhou, September lalu.