fb fb fb fb fb

RMSIR 2023: Pasukan Witchcraft julang Piala Raja Muda buat kali pertama

Selepas menempuhi pelayaran selama sembilan hari bermula Jumaat lepas (17 Nov), pasukan Witchcraft dari Hong Kong muncul juara buat julung kalinya untuk menjulang Piala Raja Muda pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2023

LANGKAWI, 25 November- Selepas menempuhi pelayaran selama sembilan hari bermula Jumaat lepas, pasukan Witchcraft dari Hong Kong muncul juara buat julung kalinya untuk menjulang Piala Raja Muda pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2023.

Lebih mendebarkan kemenangan itu menerusi gandingan skipper Nick Burns, 79, bersama 10 kru kapal yang menjadi pendahulu saingan Kelas 1 dengan hanya kelebihan satu mata berbanding The Next Factor dari Australia di tangga kedua (13 mata), diikuti pasukan Uranus dari Malaysia di posisi ketiga (24 mata) dan pasukan Aftershock dari Australia di tangga tercorot (31 mata).

Kru Witchcraft terdiri daripada Cameron Ferguson, Darwin Santos, Peter Fletch, Fred Kinmonth, Heather Hard, Peter Baer, Warcz Downes, Zack Izham, Wilfred Kam dan Maueen Mueller.

Mereka berada di kedudukan pertama bagi lima daripada lapan perlumbaan yang diadakan iaitu saingan peringkat pertama dari Port Klang ke Pulau Pangkor, peringkat ketiga dari Pulau Pinang ke Langkawi serta tiga perlumbaan Pelabuhan Langkawi.

Fletch, 63, yang bertugas sebagai trimmer kumpulan bersyukur apabila segala perancangan dibuat berjalan lancar walaupun terpaksa menempuhi pelbagai dugaan seperti keadaan angin yang tidak memihak kepada mereka.

“Terdapat banyak perkara yang berubah-ubah dan banyak pertukaran angin seperti ribut pada malamnya. Sudah tentu ianya satu cabaran tetapi mata kami fokus kepada apa yang terjadi dan juga memerhatikan kedudukan.

Ia satu kejayaan yang bermakna tetapi ia tidak datang dengan mudah, kami berpuas hati dengan kru dan berharap kami akan kembali menyertai RMSIR tahun depan,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, dalam perebutan Piala Cabaran Jugra bagi Kelas 2 menyaksikan Shahtoosh dari United Kingdom muncul juara manakala pasukan Silhouette dari Singapura mengungguli saingan Kelas 3 untuk menggondol Piala Cabaran Dato' Abdul Aziz Ismail.

Pasukan Lady Bubbly dari Australia pula memenangi Trofi Cabaran Jeff Harris bagi saingan Kelas 4 manakala pasukan Malaysia VG Offshore dan Marikh masing-masing mendominasi Piala Royal Langkawi Yatch bagi Kelas 5 dan Trofi Eveline bagi Kelas 6.

Kejohanan RMSIR edisi ke-33 itu disertai 19 pasukan secara keseluruhan bagi saingan Kelas 1 hingga 6 telah melalui tiga peringkat perlumbaan iaitu Port Klang ke Pulau Pangkor, Pulau Pangkor ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Langkawi serta perlumbaan Pelabuhan di Pulau Pinang dan Langkawi.

Kejohanan RMSIR dicetuskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda bergelar Raja Muda Selangor.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE