RIO DE JANEIRO, 7 Disember- Bekas pemain Barcelona, Luis Suarez menjaringkan dua gol pada terakhirnya buat kelab Gremio sekali gus membolehkan kelab berkenaan menenwaskan Fluminense 3-2 di Stadium Maracana pada Rabu.
Pemain ikonik yang berusia 36 tahun itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami bagi menyertai sahabat karibnya, Lionel Messi berjaya menjaringkan gol pada minit ke-42 dan minit ke-64 menerusi sepakan penalti yang menarik menggunakan teknik 'Panenka'.
Kemenangan tersebut membolehkan Gremio menduduki tangga kedua dua mata di belakang juara, Palmeiras pada kejuaraan Liga Brazil yang bakal menutup tirai pada Rabu.
Keputusan tersebut memberikan pengakhiran sempurna buat Suarez yang memendekkan kontrak bersama pasukan berkenaan kepada satu musim atas alasan kalender perlawanan liga yang padat memberi kesan kepada fizikalnya yang semakin uzur.
Suarez yang ditemui selepas perlawanan enggan mengulas khabar angin yang mengaitkan dirinya yang bakal menyertai bekas rakan sepasukan di Barcelona, Messi. Sebaliknya, Suarez berkata dia ingin memfokuskan kepada keluarganya.
"Saya mencintai kerjaya ini. Tetapi kesakitan setiap kali bangun pagi membuatkan semuanya sukar.
"Saya ingin bermain lagi. Tetapi saya tidak tahu apa yang akan ditakdirkan untuk saya selepas ini", kata Suarez.
Dilantik sebagai ketua pasukan Gremio, Suarez telah bermain sebanyak 54 perlawanan dan menjaringkan 29 gol musim ini sekali gus dinobatkan sebagai antara penjaring terbanyak Liga Brazil.-AFP