KUALA LUMPUR, 7 Disember - Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal turun dengan misi bergelar pasukan pertama memenangi empat piala iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia semusim buat kali kedua.
Namun Terengganu FC (TFC) yang kali terakhir merangkul gelaran pada 2001 memberi amaran tidak memberi laluan mudah kepada jaguh selatan itu.
Pengendali JDT, Esteban Solari menyifatkan perlawanan esok bukanlah perlawanan yang mudah.
"Mungkin bagi orang di luar sana nampak begitu, tetapi bagi kami di kelab, pemain beri seratus peratus pada setiap perlawanan dan mereka memiliki mentaliti juara.
"Prestasi pasukan Terengganu semakin meningkat dan mereka juga memiliki ramai pemain berkualiti, bukan hanya mengharapkan pemain tertentu," katanya.
Sementara itu, Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, pasukannya akur dengan kualiti pasukan dan pemain JDT.
"Tetapi kita pun ada kualiti tersendiri dan perancangan kita. Kami pernah kalah 3-1 pada perlawanan sebelum tetapi prestasinya lebih baik berbanding awal musim. Kami kenal kemampuan pasukan dan akan buat yang terbaik," katanya.
Kemenangan malam esok akan membolehkan JDT menyamai rekod Kedah yang memenangi 'double treble' pada 2007 dan 2008.
Manakala TFC akan merangkul Piala Malaysia buat kali kedua sekiranya menang aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Ini merupakan pertembungan sulung JDT dan TFC di pentas Final Piala Malaysia sejak saingan diperkenalkan pada 1921.