MELBOURNE, 13 Mac- Stefano Domenicali akan terus menerajui Formula One (F1) sebagai presiden dan ketua eksekutif sehingga 2029 selepas melanjutkan kontraknya pada Rabu, sehari sebelum perlumbaan pembukaan musim di Australia.
Domenicali, 59, mengambil alih jawatan itu pada 2021 dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh pertumbuhan sukan tersebut, dengan peningkatan ketara dalam jumlah peminat serta permintaan global bagi penganjuran perlumbaan.
Beliau merupakan individu kedua yang dilantik mengetuai Formula One Management sejak Liberty Media mengambil alih hak komersial F1 pada 2017, menggantikan Chase Carey.
"Kami amat gembira memperbaharui kontrak Stefano dan tidak sabar untuk terus bekerjasama bawah kepimpinannya bersama pasukan pengurusan berbakat F1 bagi tahun-tahun akan datang," kata Derek Chang, presiden dan ketua eksekutif Liberty Media, dalam satu kenyataan.
"Stefano telah menjadi pengurus cemerlang, membina kejayaan sedia ada dan mempercepat pertumbuhan F1, baik dari segi komersial mahupun penglibatan peminat."
Bekas bos pasukan Ferrari itu meluahkan rasa terharu dengan kepercayaan yang diberikan.
"Saya berasa amat berbesar hati untuk terus memegang peranan ini. Bersama semua pihak berkepentingan dalam F1, kami akan terus memastikan kepentingan peminat menjadi keutamaan, kerana mereka adalah nadi kepada segala yang kami lakukan," katanya.-AFP