KUALA LUMPUR, 13 Mac- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perlawanan pertama skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada Selasa, 25 Mac 2025, dengan sepak mula dijadualkan pada pukul 10 malam.
Perlawanan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Nepal namun dipindahkan ke Malaysia susulan permintaan Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di Stadium Dasharath, Kathmandu yang masih berjalan.
FAM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pemilihan Stadium Sultan Ibrahim dibuat selepas mendapat perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, sebagai simbolik permulaan revolusi Harimau Malaya yang diilhamkan baginda.
"Tiket perlawanan berharga RM40 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun mula dijual secara dalam talian di laman web www.tickethotline.com.my bermula hari ini, Khamis, 13 Mac 2025, pada jam 10 pagi," menurut kenyataan tersebut.
FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat hadir memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Peter Cklamovski, meskipun perlawanan diadakan dalam bulan Ramadan.