BIRMINGHAM, 13 Mac-Bekas pemain nombor satu dunia badminton, Viktor Axelsen, tersingkir di pusingan pertama Terbuka All England selepas tewas kepada pemain Taiwan, Lin Chun-yi, pada Rabu.
Lin memenangi set pertama yang berlangsung sengit sebelum Axelsen bangkit dengan dominasi dalam set kedua.
Namun, pemain Denmark itu gagal mengekalkan momentumnya pada set penentuan apabila Lin meraih enam mata berturut-turut sebelum mencatat kemenangan 21-19, 13-21, 21-11.
"Jika saya tidak bermain pada tahap terbaik, sesiapa sahaja boleh menewaskan saya," kata Axelsen, yang kini berada di ranking keempat dunia.
"Lawan hari ini bermain dengan cemerlang. Ia mengecewakan, tetapi begitulah hakikatnya.
"Saya hanya cuba bertahan dalam perlawanan.
"Sentiasa ada tekanan tinggi di All England dan setiap hari, saya merasakannya. Saya menjadi tegang apabila badan saya tidak berada dalam keadaan baik, dan ia menjejaskan keseluruhan permainan saya", katanya di sini.
Dalam aksi senegara pemain Jepun, Yushi Tanaka berjaya menewaskan pilihan kelapan, Kodai Naraoka.
Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, pilihan utama dari Korea Selatan dan juara bertahan 2023, An Se-young, mara dengan mudah selepas menewaskan pemain China, Gao Fangjie, 21-16, 21-14.
Bekas juara, Chen Yufei, turut melangkah ke pusingan seterusnya, manakala rakan senegaranya yang juga pilihan kedua, Wang Zhiyi, menyingkirkan juara dua kali dari Jepun, Nozomi Okuhara.-AFP.