BUKIT JALIL, 11 Januari- Status kecederaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang terpaksa menarik diri pada pusingan pertama PETRONAS Terbuka Malaysia 2024, akan diketahui esok.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata keputusan perubatan itu bakal menentukan penyertaannya dalam saingan Terbuka India yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 21 Januari ini.
Menurutnya, pemain berusia 23 tahun itu yang kini berada dalam misi melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024, akan melalui imbasan MRI untuk mengetahui tahap kecederaan belakangnya.
"Kita sebagai jurulatih, kita rasa sayanglah cuma atlet itu akan rasa lebih rugi. Selain itu, kita main di rumah sendiri dan kejohanan ini adalah kejohanan yang besar, bukan 300 atau 500. Kalau tanya kita, rugilah."
"Kita akan lihat keputusan dari doktor. Kedua, sekiranya dia tarik diri daripada Terbuka India maksudnya dia sudah akan terlepas dua kejohanan, bagaimanapun kita di barisan kejurulatihan akan cuba susun semula jadual penyertaan dia sebelum kejohanan terakhir untuk layak ke Olimpik Paris," kata Rexy kepada pemberita di Axiata Arena, hari ini.
Tze Yong yang berada di ranking ke-15 dunia itu, mengalami kecederaan itu ketika beraksi menentang Koki Watanabe, di pusingan pertama dan tidak mampu meneruskan perlawanan ketika ketinggalan 8-12.
Situasi itu turut menyaksikan tiada wakil negara bagi acara perseorangan lelaki di pentas Terbuka Malaysia kali ini, selepas pemain profesional, Lee Zii Jia turut tersingkir di pusingan pertama susulan tewas di tangan wakil China, Lu Guang Zu.
Sementara itu, kekalahan gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito berpunca daripada kegagalan mengawal emosi di atas gelanggang.
Wakil negara tewas 'straight sets' dengan mata 22-24 dan 14-21 pada aksi kedua hari ini.
"Hari ini mereka berdepan Jepun, pertemuan kedua mereka. Pertemuan pertama, mereka kalah. Sebenarnya, mereka telah berjaya dominasi permainan tetapi Jepun tidak panik dan kekalkan momentum permainan mereka sahaja.
Cuma, Tang Jie-Ee Wei sendiri yang macam hilang fokus dan tidak sabar. Rasa susah nak kutip mata dan menyerang tanpa taktikal. Ini sepatutnya tidak terjadi kepada mereka," tambah Rexy.
Kekalahan itu juga menyaksikan tiada lagi wakil pasangan beregu campuran di pentas Terbuka Malaysia 2024.
Turut mengakhiri pertarungannya, pasangan Chan Peng Soon- Cheah Yee See selepas tewas kepada pasangan pilihan ke-5 dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.