fb fb fb fb fb

Prestasi atlet meningkat, Varsity Track & Field jadi penentu akhir ke AUG 2026

Muhammad Malik Ahmad, Ketua Penyelaras Kejohanan

SERDANG, 16 November -Persediaan atlet olahraga negara menuju ASEAN University Games (AUG) 2026 terus berada pada landasan tepat apabila ramai atlet mempamerkan peningkatan prestasi sepanjang Kejohanan Varsity Track & Field 2025.

Kejohanan ini menjadi medan penting untuk jurulatih membuat penilaian akhir, khususnya dalam acara larian yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Keadaan cuaca yang tidak menentu turut membantu atlet menyesuaikan diri dengan situasi pertandingan sebenar di luar negara.

Ketua Penyelaras Kejohanan, Muhammad Malik Ahmad berkata, kejohanan ini antara peluang terakhir sebelum senarai panjang atlet ke AUG 2026 diumumkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa atlet yang sedang bertanding bukan sahaja dinilai untuk AUG, tetapi juga bagi persiapan ke Sukan SEA.

“Kita ada lebih 20 atlet yang bakal ke Sukan SEA, dan ramai menunjukkan peningkatan terutama dalam acara larian 4x100 dan 4x400.

Mereka kini dalam fasa menentukan siapa yang akan diturunkan dalam acara tersebut,” katanya.

Setakat hari ketiga kejohanan, lapan rekod berjaya dipecahkan iaitu lima pada hari pertama, dua pada hari kedua dan satu pada hari ketiga.

Muhammad Malik tidak menolak kemungkinan satu lagi rekod kebangsaan bakal diperbaharui sebelum kejohanan melabuhkan tirai.

Beliau berkata program persiapan atlet telah bermula sejak awal tahun melalui penyertaan dalam beberapa kejohanan utama.

Beberapa bakat baharu yang muncul sejak Oktober juga berada dalam perhatian kejurulatihan untuk dipertimbangkan ke AUG 2026.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN