fb fb fb fb fb

KL tamat kemarau 31 tahun, rangkul Piala Emas Raja-Raja 2025

Reaksi kemenangan pemain pasukan Kuala Lumpur selepas menewaskan pemain pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja 2025 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) /BERNAMA

BANGI, 16 November -Kuala Lumpur menamatkan penantian lebih tiga dekad apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2025 selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada aksi final di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam tadi.

Beraksi dalam keadaan hujan, Kuala Lumpur membuka tirai jaringan pada minit ke-43 menerusi Suhaimi Abu, yang bijak memanfaatkan bola hantaran Muhammad Sharul Aikal yang terhenti dalam takungan air sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol ATM, Mohamad Syahmer Hakimi.

ATM memasuki babak kedua dengan lebih agresif dan menghasilkan beberapa percubaan berbahaya, namun terus buntu merobek gawang lawan.

Detik paling dramatik hadir pada masa kecederaan apabila ATM diberikan sepakan penalti selepas Haikal Azizi dikasari pertahanan Kuala Lumpur.

Namun sepakan Seherry Aladin berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Muhammad Hanif Faizal, sekali gus memastikan trofi edisi ke-103 itu menjadi milik skuad warga kota.

Jurulatih Kuala Lumpur, Zolkipli Samion, menyifatkan kejayaan ini sebagai momen paling berharga dalam lebih 30 tahun penglibatannya dalam PERR.

“Syukur Alhamdulillah, inilah saat yang kami kejar bertahun-tahun. Sejak 1994 sampai sekarang, saya melalui Piala Emas Raja-Raja sebagai pemain dan jurulatih. Hari ini hajat itu termakbul,” katanya.

Mengulas detik penalti ATM, Zolkipli mengakui debaran memuncak tetapi menganggap penyelamatan Hanif sebagai rezeki pasukan.

Kejayaan ini memecahkan kemarau sejak kemenangan terakhir Kuala Lumpur pada 1994, sekali gus menjadi tonik terbaik selepas kekalahan mereka dalam perebutan Piala Agong bulan lalu.

Kuala Lumpur membawa pulang piala pusingan, medal dan hadiah wang tunai RM50,000, manakala ATM menerima RM30,000 selaku naib juara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN