BUKIT JALIL, 11 Januari- Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mencipta kejutan melangkah ke suku akhir selepas menundukkan pasangan nombor lima dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam satu perlawanan yang cukup mendebarkan.
Aksi yang berlangsung menerima sokongan padu peminat tanah air, apabila gandingan di ranking ke-12 dunia itu bermula dengan langkah kanan, menang set pertama, 21-10.
Namun, semuanya seakan tidak menjadi di set kedua apabila tewas 11- 21 sekali gus perlawanan diheret ke set penentuan.
Biarpun keletihan, namun kedua-dua beregu mempamerkan aksi yang menarik sebelum Yew Sin-Ee Yi mengesahkan kemenangan 24-22 dalam tempoh 61 minit.
Yew Sin-Ee Yi menyifatkan ia sebagai satu permulaan yang positif dalam merealisasikan misi layak ke Olimpik Paris 2024.
"Ini menambah lagi keyakinan kami sejak perlawanan pertama pada Selasa. Saya pun baru sahaja pulih daripada kecederaan. Saya tidak dapat banyak berlatih. Saya gembira dengan keputusan ini," kata Ee Yi kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.
Turut layak ke suku akhir, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Beregu keempat dunia itu tidak menghadapi masalah menumpaskan pasangan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dengan 'straight sets', 21-15 dan 21-16.
Yew Sin-Ee Yi akan bertemu wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi manakala Aaron Chia-Wooi Yik pula akan menentang wakil korea, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.