fb fb fb fb fb

KBS tunai janji, atlet program podium terima caruman KWSP mulai Januari ini

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Seramai 393 atlet termasuk atlet para berada di bawah Program Podium akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula bulan ini.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bayaran elaun bulanan atlet yang kini ditukar kepada gaji juga akan dinaikkan dengan minimum gaji asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Inisiatif itu akan memberi impak kewangan sebanyak RM16 juta setahun kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kita telah tunaikan hasrat mereka tetapi mereka juga kena tunaikan hasrat rakyat Malaysia iaitu bawa pingat pingat emas dalam temasya sukan olimpik," kata Hannah kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN.

Tambah beliau, buat masa ini, caruman KWSP tersebut tidak membabitkan atlet pelapis.

Hannah juga sudah meminta MSN mengadakan kajian semula berhubung elaun Skim Jurulatih Kebangsaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM