IPOH, 3 Oktober -Stadium Perak, di sini akan menggunakan rumput jenis Axonopus Putra yang sebelum ini turut digunakan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.
Rumput itu dibangunkan hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penggunaan rumput itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurutnya proses penggantian rumput telah bermula Jun lalu dan dijangka selesai pada Januari tahun hadapan.
"Selain daripada kita ganti semula rumput, juga melibatkan kerja-kerja untuk naik taraf sistem perparitan dan sebagainya lah. Dan walaupun tempoh kerja ini enam bulan dari Jun hingga Januari, tapi dijangka apabila selesai kerja ni kita masih perlukan sedikit masa untuk rumput-rumput baru tu, ia perlu matang sampai tahap yang sesuai dan betul-betul dapat cengkam tanah dan sebagainya. Dan barulah kita rasa sesuai untuk buka balik kepada aktiviti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 di Bangunan MBI, di sini.
Proses naik taraf rumput di Stadium Perak menggunakan peruntukan daripada KBS serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kos keseluruhan berjumlah RM842,000.