PORT DICKSON, 3 Oktober - Pelumba Tudors Pro Cycling, Arvid De Kleijn, muncul juara peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas menamatkan kayuhan sejauh 123.5 kilometer dari Shah Alam ke Port Dickson dengan catatan masa 2 jam 32 minit 55 saat.
Erlend Blikra dari pasukan Uno-X Mobility, mengekori rapat di tempat kedua, manakala Manuel Penalver Aniorte, di tempat ketiga.
Pelumba Perancis, Joris Delbove dari pasukan TotalEnergies mengekalkan Jersi Hijau (klasifikasi keseluruhan) sebagai pendahulu dengan masa terkumpul 18 jam 49 minit 29 saat, mengatasi Anders Hallan Jonnessen di tangga kedua.
Bagi kategori lain, Blikra mengungguli kedudukan Raja Pecut (jersi jingga) dengan 45 mata meninggalkan De Kleijn (42) dan Penalver (37).
Sementara itu, Raja Bukit (Jersi polkadot) kekal milik Patrik Eddy dari pasukan Team Picnic PostNL kerana tiada sebarang zon pendakian dan esok juga menyaksikan Eddy terus menyarung jersi sama.
Wakil negara, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil dari pasukan Malaysia pro Cycling team (MPC) menjadi pelumba terbaik asia tenggara (Best ASEAN Rider) apabila berjaya menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Nicolya Vinokurov dari XDS Astana terus menyarung jersi putih selaku terbaik Asia dengan masa 18:49:40, diikuti Jamnaljamts (+0:42) dan Thanakhan Chaiyasombat (+1:32).
Sementara itu, pelumba muda negara, Kee Zhe Yie, dinobatkan sebagai Most Combative Rider selepas menjadi yang terakhir bertahan dalam satu pemecahan melibatkan tujuh pelumba, sebelum bergerak secara solo sejauh 18km ke garisan penamat.
Esok, perlumbaan dari Melaka ke Medini sejauh 216.4 km bakal menyaksikan jarak terpanjang dalam edisi LTdL 2025, sebelum ditutup dengan peringkat kelapan dari Tangkak ke Kuala Lumpur.