LAUSANNE, 3 Oktober- Presiden FIFA, Gianni Infantino menegaskan bola sepak tidak mampu menyelesaikan konflik geopolitik.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika FIFA berdepan desakan global terhadap permohonan menggantung penyertaan Israel susulan tindakan perangnya di Gaza.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis FIFA, beliau berkata badan induk itu hanya mampu memainkan peranan mempromosikan keamanan dan perpaduan.
“FIFA komited menggunakan kuasa bola sepak untuk menyatukan manusia. Mesej terpenting ketika ini ialah keamanan dan perpaduan,” katanya.
Infantino turut menegaskan FIFA perlu terus memajukan bola sepak dengan menekankan nilai penyatuan, pendidikan, budaya dan kemanusiaan, walaupun tidak dapat menyelesaikan isu geopolitik.
Pada Khamis, Infantino bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jibril Rajoub di ibu pejabat FIFA di Zurich, sehari selepas Rajoub mengadakan pertemuan dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry di Lausanne.
Namun, kenyataan rasmi FIFA dan catatan Infantino di media sosial tidak menyebut mengenai Israel atau persekutuan bola sepak negara itu, meskipun wujud gesaan supaya pasukan Israel dikecualikan daripada kelayakan Piala Dunia 2026.
FIFA sebelum ini menggantung Rusia pada 2022 berikutan pencerobohan ke atas Ukraine, walaupun negara itu menjadi tuan rumah Piala Dunia empat tahun sebelumnya.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Norway, Lise Klaveness baru-baru ini turut menyokong penggantungan Israel.
“Jika Rusia digantung, Israel juga sepatutnya digantung,” katanya.
Israel kini berada di tangga ketiga kumpulan kelayakan Piala Dunia 2026 dengan sembilan mata, sama dengan Itali di tempat kedua, manakala Norway mendahului dengan 15 mata. -AFP