fb fb fb fb fb

LTdL 2025: Muhammad Izzat Hilmi muncul pelumba terbaik ASEAN peringkat keenam

Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil merangkul Pelumba ASEAN Terbaik pada perlumbaan peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 dari Shah Alam ke Port Dickson hari ini/ BERNAMA

PORT DICKSON, 3 Oktober - Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil terus optimis memburu podium selepas menamatkan peringkat keenam Le Tour de Langkawi 2025 di kedudukan keempat hari ini dengan kayuhan sejauh 123.5 kilometer dari Shah Alam ke Port Dickson.

Kedudukan tersebut juga menyaksikan beliau berjaya meraih gelaran pelumba terbaik ASEAN.

Meskipun sedikit terkilan kerana gagal mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan, beliau tetap berazam untuk memanfaatkan baki dua lagi peringkat terakhir kejohanan.

“Walaupun kurang sihat, saya tetap cuba yang terbaik. Sasaran saya hari ini lima terbaik dan syukur Alhamdulillah, dapat nombor empat.Terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dari awal hingga akhir perlumbaan.

"Masih ada dua peringkat lagi. Kalau perlumbaan berakhir dengan pecutan beramai-ramai, saya akan cuba ambil posisi terbaik untuk naik podium,” kata beliau ketika ditemui selepas perlumbaan.

Sebelum ini, pada peringkat empat, Muhammad Izzat turut berjaya menamatkan saingan di tempat ketujuh sekali gus muncul pelumba terbaik ASEAN.

Manakala pada peringkat keenam hari ini, kemenangan menjadi milik pelumba Belanda, Arvid De Kleijn (Tudor Pro Cycling) dengan catatan masa 2 jam 32 minit 55 saat, diikuti Erlend Blikra (Uno-X Mobility) di tempat kedua, dan Manuel Peñalver Anior­te (Team Polti-Vismalta) di tempat ketiga.

De Kleijn menyifatkan saingan hari ini sengit dan mencabar dalam keadaan hujan lebat, namun pasukannya berjaya mengawal perlumbaan untuk meraih kemenangan.

"Saya rasa agak kecewa kerana Matteo Maluceli terlibat dalam kemalangan. Saya sebenarnya mahu bersaing dengannya, tetapi apakan daya. Saya harap dia cepat pulih, perlumbaan hari ini memang agak tidak teratur seperti yang dijangka, sentiasa ada saingan. Tapi sebenarnya ia menyeronokkan. Kami berjaya menambah tiga saat bersama Yannis, dan akhirnya kami dapat mengawal perlumbaan serta meraih kemenangan. Jadi, ia hari yang cukup sempurna buat kami," kata beliau.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN