fb fb fb fb fb

Penjaga gol Liverpool, Alisson tidak beraksi hingga selepas rehat antarabangsa

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker (kiri) disahkan tidak dapat beraksi sehingga selepas rehat antarabangsa bulan ini akibat kecederaan hamstring/ AFP

LONDON, 3 Oktober – Liverpool berdepan tamparan hebat apabila penjaga gol utama mereka, Alisson Becker disahkan tidak dapat beraksi sehingga selepas rehat antarabangsa bulan ini akibat kecederaan hamstring.

Alisson digantikan oleh Giorgi Mamardashvili pada minit ke-56 ketika kekalahan 2-1 kepada Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara di Istanbul, Selasa lalu.

Pengurus Liverpool, Arne Slot mengesahkan pemain berusia 33 tahun itu tidak akan diturunkan menentang Chelsea di Stamford Bridge hujung minggu ini, malah tidak menyertai skuad Brazil bagi aksi antarabangsa akan datang.

“Alisson bukan sebahagian daripada pasukan esok dan dia juga tidak akan menyertai skuad kebangsaan Brazil. Sukar untuk menentukan tempoh pemulihannya, tetapi saya tidak menjangkakan dia kembali sebaik sahaja tamat rehat antarabangsa,” katanya.

Slot turut menyatakan keyakinan terhadap Mamardashvili, yang dijangka membuat penampilan sulung Liga Perdana menentang Chelsea pada Sabtu.

Liverpool kini mengalami kemerosotan prestasi selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris dan Galatasaray di Eropah, sekali gus menjejaskan momentum tujuh kemenangan awal musim.

Selain isu kecederaan, Slot mengakui pasukannya bergelut di kedua-dua bahagian padang, termasuk prestasi goyah benteng pertahanan yang diketuai Ibrahima Konate.

Sementara itu, penyerang Hugo Ekitike yang turut cedera ketika menentang Galatasaray akan dinilai selepas sesi latihan terakhir sebelum aksi menentang Chelsea, yang kini berada di tangga kelapan liga. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN