fb fb fb fb fb

Bellingham digugurkan daripada skuad England untuk aksi Oktober

Jude Bellingham tidak tersenarai dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel bagi aksi persahabatan menentang Wales serta kelayakan Piala Dunia menentang Latvia/ AFP

LONDON, 3 Oktober – Nama Jude Bellingham menjadi perhatian apabila tidak tersenarai dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel bagi aksi persahabatan menentang Wales serta kelayakan Piala Dunia menentang Latvia bulan ini.

England, naib juara Euro 2024, akan bertemu Wales dalam aksi persahabatan Khamis depan sebelum meneruskan kempen kelayakan Piala Dunia di Latvia lima hari kemudian.

Bellingham, 22, sebelum ini terlepas kem latihan September kerana menjalani pembedahan bahu namun sudah kembali beraksi dalam empat perlawanan bersama Real Madrid. Bagaimanapun, namanya tetap digugurkan daripada skuad 24 pemain kali ini, hanya dua hari selepas diumumkan sebagai Pemain Terbaik England 2024/25.

Sebaliknya, Bukayo Saka kembali selepas pulih daripada kecederaan hamstring, manakala Cole Palmer, Noni Madueke dan Tino Livramento diketepikan kerana kecederaan.

Trent Alexander-Arnold masih belum cergas, sementara Jack Grealish dan Phil Foden sekali lagi tidak mendapat tempat dalam pilihan Tuchel.

“Tidak sampai tiga minggu sejak kem latihan terakhir dan kemenangan terakhir, jadi persoalannya mengapa tidak mengekalkan kumpulan yang sama kerana mereka sudah menetapkan standard. Kini masanya untuk mewujudkan tabiat daripada itu,” kata Tuchel.

England sebelum ini mencatat kemenangan 2-0 ke atas Andorra dan membelasah Serbia 5-0 sekali gus mengekalkan rekod sempurna lima kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Dunia. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN