fb fb fb fb fb

Stadium Merdeka bakal jadi lokasi pertandingan Piala Sultan Selangor 2024

Pengerusi Jawatankuasa TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar /FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 4 Januari- Pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor, (TSSC) yang tertangguh selama empat tahun susulan Covid-19 bakal dianjurkan semula pada 17 Ogos depan di Stadium Merdeka.

Seramai 20,000 penonton dijangka memeriahkan perlawanan tradisi menentang Singapura dengan tiket dijual serendah RM10.

Pengerusi Jawatankuasa TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata lokasi edisi ke-20 ini akan menggamit nostalgia kegemilangan bintang bola sepak negara.

"Piala Sultan Selangor 2024 ini amat bermakna bagi saya. Sangat nostalgia sebab apa, sebab Stadium Merdeka ini dibawa kembali ke bentuk asal dan disini lah lahirnya legenda-legenda pemain bola sepak Selangor.

"Dia memang mengembalikan balik sejarah itu, di sinilah mereka beraksi dengan gandingan allahyarham Mokhtar Dahari dengan mendiang Arumugam", katanya kepada pemberita selepas melawat dan meninjau kerja-kerja membaik pulih stadium berkenaan di sini pada Rabu.

Kejohanan TSSC membabitkan pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura bagi merebut piala berprestij serta wang tunai RM80,000

Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 dengan Selangor menewaskan Singapura 1-0.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD