BARCELONA, 29 April- Barcelona bakal memiliki stadium yang lebih besar dan menarik.
Menurut presidennya, Joan Laporta kerja-kerja ubahsuai stadium Camp Nou akan bermula pada Jun selepas diberikan permit oleh majlis perbandarannya.
Kerja-kerja pengubahsuaian itu akan berlangsung selama tiga tahun dan mengakibatkan kelab itu terpaksa berpindah sementara ke tempat lain untuk musim 2023-2024.
Kelab Catalan tersebut berpindah ke Stadium Olimpik di Montjuic buat sementara waktu sebelum kembali semula ke Camp Nou bagi musim 2024/2025 yang mana kerja-kerja pembinaan dijangka siap 50 peratus.
(Replika Stadium Barcelona pada 2016. /AFP)
Laporta menjangkakan pengubahsuaian akan selesai sepenuhnya untuk musim 2025/2026 dengan perbelanjaan sekitar 1.5 bilion Euro.
Barcelona dan pihak berkaitan kini dalam perbincangan akhir dan bakal mengumumkan butirannya dalam beberapa minggu lagi.
Stadium Camp Nou ketika ini boleh memuatkan lebih 99 ribu penonton dan kapasiti berkenaan akan bertambah kepada 105 ribu tempat duduk apabila pengubahsuaian siap sepenuhnya. -AFP