KUALA LUMPUR, 29 April- Desas desus mengenai kemungkinan, jurulatih beregu campuran, Paulus Firman bakal ‘angkat kaki’ apabila kontraknya tamat akhirnya terjawab.
Ini selepas Persatuan Badminton Malaysia, BAM, mengesahkan perkara tersebut, hari ini.
BAM dalam satu kenyataan memaklumkan, jurulatih berusia 53 tahun itu membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak kerana ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.
(Gambar fail /BERNAMA)
Badan induk itu turut meluahkan penghargaan kepada Paulus di atas sumbangannya terutama di bahagian beregu campuran dan lelaki negara sejak kembali ke Malaysia pada 2018.
Dalam kenyataan tersebut Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaki juga mengucapkan terima kasih kepada Paulus atas peranan yang dimainkannya.
Beliau turut menambah, pihaknya sedang mengenalpasti calon baharu sesuai yang mampu meneruskan momentum yang ditinggalkan beliau.