KELANA JAYA, 10 Februari- Stadium Sultan Ibrahim (SSI) berkemungkinan besar menjadi tempat perlawanan sementara untuk aksi persahabatan antarabangsa Harimau Malaya sebelum menghadapi Piala Asia tahun depan.
Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman.
Jelas beliau, selain Stadium Sultan Ibrahim, ada beberapa stadium lain turut berada dalam radar FAM termasuk Stadium Hang Jebat, di Melaka.
"Terengganu juga dalam kita punya perhatian untuk dijadikan sebagai tempat perlawanan sementara selain Batu Kawan, Pulau Pinang. Tetapi SSI juga berkemungkinan besar untuk dipilih," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Noor Azman, keputusan akhir akan diumumkan selewatnya-lewatnya pada awal Mac.
Ketika ini Stadium Nasional Bukit Jalil sedang menjalani proses naik taraf padang dan dijangka tidak dapat digunakan hingga September 2023.
(Noor Azman Rahman)