fb fb fb fb fb

KDA FC pamer aksi cemerlang, tewas kepada Nasaf FC

TURKIYE, 10 Februari- Skuad Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hampir melakar kejutan ketika tewas tipis 1-2 kepada Juara Piala Uzbekistan, Nasaf FC pada perlawanan pertama siri jelajah pra musim ke Eropah, malam Khamis.

Beraksi di S & B Sports Complex, Antalya, Turkiye, KDA FC musim ini dibarisi ramai pemain baharu tampil dengan semangat juang tinggi untuk memulakan siri jelajah pra musim dengan langkah kanan.

Aksi babak pertama, permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan namun tiada jaringan terhasil pada babak pertama perlawanan walaupun kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menjaringkan gol.

Bersambung babak kedua, KDA FC menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil pada minit ke 58.

Penyerang dari Brazil, Willian Lira mengejutkan juara Liga Super Uzbekistan selama dua tahun berturut-turut dengan menghadiahkan gol pendahuluan buat KDA FC.

Tersentak dengan jaringan itu, Nasaf FC yang dibarisi ramai pemain berkualiti mula menukar rentak.

Dua jaringan berjaya dihasilkan oleh Khusain Norchaev pada minit ke-80 dan sepakan penalti pada minit ke-83.

Jaringan itu sekali gus memberikan kemenangan kepada Nasaf FC dengan keputusan 2-1.

Secara keseluruhan, KDA FC mempamerkan mutu permainan yang semakin baik dan berkualiti.

KDA FC akan bertemu FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan pada Jumaat; diikuti FK Maqtaraal dari Kazakhstan pada 12 Februari; dan perlawanan terakhir menentang FC Metalist Kharkiv dari Ukraine pada 14 Februari.

(Keputusan penuh KDA FC menentang Nasaf FC/foto KDA FC)

Media Baharu