SUNGAI BULOH, 23 Mac- Ibu bapa digalakkan membuat pelaburan awal bagi membolehkan anak-anak mereka kekal aktif bersukan.
Langkah itu penting sebagai penyediaan mengejar impian bergelar jaguh sukan pada masa hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kementeriannya menawarkan insentif pelepasan cukai kepada ibu bapa untuk perbelanjaan yuran anak-anak mereka yang mengikuti latihan sukan termasuk pembelian peralatan sukan.
"Pengecualian cukai adalah untuk insentif latihan sukan. Jadi, untuk 2024 kerajaan telah berikan insentif kategori sukan sahaja RM1,000 yang mereka boleh guna pakai untuk masuk pertandingan untuk beli peralatan sukan atau latihan sukan. Ini sangat penting untuk latihan. Resit itu mereka boleh simpan.
Untuk 2025, mereka boleh gunakan bukan sahaja untuk diri pembayar cukai dan anak tetapi kepada ibu bapa pembayar cukai juga boleh guna pakai insentif ini. Kita nak galakkan gaya hidup sihat, semua generasi," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas merasmikan March Junior Monthly Medal 2025 anjuran Kelab Rahman Putra Malaysia.
Tambah beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menawarkan bantuan kewangan seperti Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti kepada pihak penganjur bertujuan bagi mengurangkan kos penganjuran apa-apa pertandingan dan sebagainya.
"Jadi, saya berharap dengan adanya lebih banyak pertandingan di peringkat akar umbi seperti ini pemain-pemain muda mempunyai platform untuk bertanding. Kalau setakat diberikan latihan sahaja tetapi tiada pertandingan, ia tak ada makna. Pemain juga tidak mempunyai pengalaman untuk bertanding.
Jadi, pengalaman bertanding ini sangat penting dan ini yang kita nak dengan adanya Dana Sukan Komuniti dan Geran Padanan Sukan yang kita berikan untuk penganjur. Kita nak berikan lebih banyak lagi platform pertandingan kepada atlet-atlet kita," tambah Hannah.