KUALA LUMPUR, 23 Mac-Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) optimis skuad Harimau Malaya mampu meraih kemenangan menentang Nepal pada aksi pertama Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, menjelang aksi Piala Asia 2027, Selasa ini.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, Harimau Malaya perlu meraih tiga mata selain berusaha mencipta kemenangan besar sebelum berdepan pasukan Vietnam nanti.
"Memang kita hendak kemenangan. Kalau boleh kita nak kemenangan yang besar sebab kita boleh membawa kepada perlawanan dimana kita akan berdepan Vietnam.
"Mungkin Vietnam setara den mungkin lebih kuat. Jadi, kalau boleh ingin menang dengan selesa dan gol yang besar", katanya.
Dalam tiga pertemuan terakhir menentang Nepal, Malaysia berjaya meraih tiga kemenangan termasuk meraih keputusan 5-1 pada perlawanan ujian tertutup di Shah Alam, Selangor Mac 2024.
Dalam pada itu Datuk Joehari turut memaklumkan DUA pemain warisan telah memulakan latihan bersama skuad kebangsaan bagi memperkuatkan pasukan.
"Setakat ini kita memang ada dua pemain warisan yang sudah mula berlatih dengan pasukan. Tetapi itu terpulang pada jurulatih sama ada dia nak pilih atau tidak,
"Itu terpulang kepadanya untuk membuat pilihan sama ada dia akan bermain atau tidak", katanya.
Dua pemain warisan tersebut ialah Hector Hevel dan Gabriel Palmero.