fb fb fb fb fb

Jaringan Salah kukuhkan peluang Mesir ke Piala Dunia 2026

Penyerang Liverpool dan Mesir, Mohammed Salah menjaringkan satu gol ketika menang 2-0 ke atas Ethiopia /Foto REUTERS

CAPE TOWN, 22 Mac-Ketua pasukan dan bintang Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan gol untuk Mesir ketika meraih kemenangan mudah 2-0 ke atas Ethiopia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 pada Jumaat.

Manakala Maghribi pula memerlukan jaringan lewat Bilal El Khannouss untuk menewaskan Niger.

Zizo menjaringkan gol kedua Mesir, membantu pasukan itu mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan A dengan kelebihan lima mata.

Pasukan yang menduduki tempat teratas dalam setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia di Amerika Utara.

Sementara itu, empat naib juara terbaik akan bertanding dalam pusingan playoff antara benua untuk merebut satu slot terakhir.

Maghribi beraksi di tempat sendiri di Oujda menentang Niger, yang tidak mempunyai stadium yang sesuai untuk perlawanan antarabangsa.

Namun, mereka terpaksa berhempas pulas selepas Ismael Saibari menyamakan kedudukan pada minit ke-60 sebelum El Khannouss menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan. Maghribi kini mendahului Kumpulan E dengan kelebihan enam mata berbanding Niger di tempat kedua.

Sementara itu, Relebohile Mofokeng dan Jayden Adams masing-masing menjaringkan gol antarabangsa pertama mereka ketika Afrika Selatan bergelut untuk menang 2-0 di tempat sendiri ke atas Lesotho, sekali gus membolehkannya menduduki tangga teratas Kumpulan C.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD