MONTEVIDEO, 22 Mac-Jaringan tunggal Thiago Almada memastikan Argentina mencatatkan kemenangan tipis terhadap Uruguay 1-0 di sini pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan (CONMEBOL).
Bermain di Estadio Centenario, Argentina yang turun sebagai pasukan pelawat kelihatan bakal berkongsi mata selepas perlawanan sengit menentang pasukan tuan rumah, Uruguay, yang sebelum ini menewaskan Argentina 2-0 di Buenos Aires.
Almada, penyerang berusia 23 tahun merembat kencang menewaskan penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet pada minit ke-68 separuh masa kedua.
Kemenangan itu bermakna Argentina bakal menjadi pasukan pertama dari Amerika Selatan yang layak ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Utara dengan kemenangan ke atas seteru utama, Brazil, di Buenos Aires pada Selasa menjamin tempat ke Piala Dunia 2026.
Juara dunia itu kini mendahului saingan kelayakan 10 pasukan Amerika Selatan dengan 28 mata daripada 13 perlawanan, enam mata di hadapan Ecuador di tempat kedua, manakala Brazil di kedudukan ketiga dengan 21 mata.
Uruguay berada di tangga keempat dengan 20 mata daripada 13 perlawanan, hanya di depan Paraguay di tempat kelima berdasarkan perbezaan jaringan.-AFP.