fb fb fb fb fb

Sri Pahang FC letak sasaran realistik, kedudukan lima teratas liga

(SPFC memperkenalkan jersi 'home' dan 'away' dengan gandingan warna biru dan kuning,
manakala jersi ketiga berwarna putih ditaja oleh syarikat pembekal peralatan sukan,
Hakka Clo/ Foto Sri Pahang FC)

KUANTAN, 20 Februari - Pasukan Sri Pahang FC (SPFC) menetapkan sasaran berada sekurang-kurangnya di kedudukan lima pasukan terbaik bagi mengharungi saingan liga Malaysia musim ini.

Menurut ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan prestasi semasa pasukan yang kian meningkat meskipun dibarisi ramai muka baharu.

Tambah beliau, perlawanan persahabatan yang berlangsung di Bangkok, Thailand dan bertemu pasukan kelab dari Korea Selatan baru-baru ini menjadi kayu pengukur bagi menilai prestasi semasa serta memperbaiki kelemahan.

Namun begitu katanya, buat masa ini beliau memfokuskan untuk memperkemaskan di bahagian tengah pasukan selain aspek keserasian pemain di bahagian serangan.

"Semua mahukan kemenangan tetapi kita perlu realistik dan sasaran kita ialah di bawah lima, jika pada kedudukan ketiga itu, Alhamdulillah.

"Boleh dikatakan sebahagian daripada pemain Sri Pahang musim ini dibarisi muka baharu tetapi hasil latihan di Bangkok pada pramusim lalu melihatkan mereka berjaya menyesuaikan diri dengan latihan walaupun ada dua atau tiga pemain kita masih cedera," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Jersi dan Pemain Sri Pahang FC, di sini hari ini.

(Ketua jurulatih Sri Pahang FC (SPFC), Fandi Ahmad/ Foto MFL) 

Pada majlis berkenaan, SPFC memperkenalkan jersi 'home' dan 'away' dengan gandingan warna biru dan kuning, manakala jersi ketiga berwarna putih ditaja oleh syarikat pembekal peralatan sukan, Hakka Clo.

Sementara itu pemain naturalisasi, Sergio Aguero berharap agar rakan sepasukan dapat bermain dengan baik mengikut taktikal diterapkan oleh ketua jurulatih yang turut dibantu pengurus pasukan SPFC, Dollah Salleh.

Bagi musim 2023, Skuad Tok Gajah akan dibarisi 25 pemain skuad utama, terdiri daripada 19 pemain tempatan dan enam pemain import.

Enam pemain import tersebut adalah Kpah Sherman (Liberia), Stefano Brundo (Argentina), Lucas Espindola da Silva (Brazil) dan Michael Glassock (Australia) di samping dua pemain yang masih dikekalkan iaitu Sherzod Fayziev dari Uzbekistan serta Kevin Ingreso (Filipina).

Selain itu, lima pemain tempatan berpengalaman menyarung jersi SPFC musim ini iaitu Nur Shamie Iszuan, Izham Tarmizi Roslan, Syazwan Andik Ishak, Azrif Nasrulhaq dan Fadhli Shas.

Media Baharu