(Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan Gon bercakap pada sidang media di Wisma FAM,
di Petaling Jaya hari ini)
PETALING JAYA, 20 Februari - Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong pada 28 Mac depan dalam aksi persahabatan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.
Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan Gon berkata kedua-dua pasukan itu mahu 'membalas dendam' ke atas anak buahnya susulan kekalahan mereka sebelum ini.
Malaysia yang berada di ranking ke-145 dunia, menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan dan Turkmenistan 3-1 dalam kelayakan Piala Asia 2023, kedua-dua pertemuan diadakan Jun tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Turkmenistan berada pada kedudukan ke-135 dunia, manakala Hong Kong di tangga ke-146.
"Turkmenistan pasukan yang baik, saya mendapat tahu mereka sangat kecewa kalah kepada kami. Mereka mahu membuktikan kemampuan dengan mencabar kami sekali lagi, jadi ia disambut baik. Sama seperti Hong Kong, yang tidak dapat membawa pemain terbaik mereka dari China disebabkan pandemik COVID-19.
(Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong pada 28 Mac
depan dalam aksi persahabatan/ Foto BERNAMA)
"Jadi, kali ini mereka akan bawa pasukan terbaik mereka. Ini bagus, kerana kedua-dua pasukan dari segi mental mahu mencabar kami," kata beliau pada sidang media di Wisma FAM, di sini hari ini.
Tambah Pan Gon, pertemuan persahabatan itu bertujuan memberikan pendedahan kompetitif terbaik.
Selain itu mengekalkan ranking Harimau Malaya sebagai 25 pasukan terbaik di Asia bagi mengelakkan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang dijangka bermula Oktober ini.
25 pasukan terbaik dalam ranking Mac akan terus bermain dalam pusingan kedua kelayakan tersebut pada November.