NILAI, 20 Februari- Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mengesahkan bakal menggunakan khidmat empat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pemain musim lalu, Herold Mark Goulon dari Perancis dikekalkan selain pasukan Sang Rusa itu menerima pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Levy Madinda dari Gabon secara pinjaman.
Dua lagi pemain import berasal dari Brazil iaitu Anselmo Arruda da Silva atau dikenali Casagrande yang juga bekas pemain Penang FC dan Vinicius Leonel Da Silva yang julung kali bakal beraksi dalam Liga M.
"Untuk saingan musim ini, kita bentuk pasukan mengikut kemampuan kewangan. Saya harap penyokong dan pengurusan faham tentang keadaan ini.
Pemain import yang kita pilih pun adalah berdasarkan kewangan semasa kelab. Bagaimanapun, saya tidak berasa tertekan. Kita hanya perlu pastikan, kita dapat memberikan satu persembahan terbaik untuk penyokong dan kelab. Saya yakin kita mampu capai apa yang kita sasarkan," kata K.Devan kepada pemberita RTM pada majlis memperkenalkan pemain NSFC dan penghargaan kepada rakan penaja di Gembox, Nilai.
(Foto FB NSFC)
Majlis disempurnakan Tunku Besar Tampin merangkap Pengerusi NSFC, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan turut hadir, Tunku Zain 'Al-Abidin Tuanku Muhriz.