fb fb fb fb fb

Sprint Triathlon: Yap Qi Yi gagal pertahan kejuaraan

Peserta Desaru Coast Sprint Triathlon lelaki terpantas Malaysia, Yap Qi Yi ketika menuju ke garis penamat acara berkenaan yang berlangsung sempena Ironman 70.3 Asia Triclub Desaru Coast/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 18 Mei - Atlet muda negara, Yap Qi Yi gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu dalam acara Triathlon Sprint di Desaru, awal pagi tadi.

Kesilapan dilakukan semasa saingan menyebabkan gelaran juara diungguli atlet Singapura Cedric Chua Jian Hong.

Atlet berusia 18 tahun itu bermula pantas pada disiplin pertama iaitu renang sejauh 750 meter meninggalkan Cedric Chua.

Memasuki disipilin kedua iaitu berbasikal sejauh 20 kilometer, Qi Yi dikenakan penalti satu minit apabila melanggar peraturan ketika memotong.

Kesilapan itu memberikan peluang kepada Cedric Chua untuk merampas kedudukan pendahulu.

Cedric secara rasmi bergelar peserta pertama melepasi garisan penamat meninggalkan Qi Yi di kedudukan kedua.

Manakala peserta dari Amerika Syarikat, Rich Bacon menamatkan saingan di tempat ketiga.

Sementara itu, Qi Yi mengakui fokusnya sedikit terganggu selepas dikenakan hukuman penalti.

"Sebenarnya, saya telah jauh di depan dan sepatutnya sudah selesa mendahului. Tetapi hukuman penalti itu mengganggu mental saya dan menjadikannya ia sebagai jurang dan semakin jauh. Saya rasa prestasi renang dan basikal juga tidak begitu baik," katanya.

Qi Yi sebelum ini dinobatkan juara dalam Kejohanan Duathlon Kebangsaan 2023 di Negeri Sembilan dan akan ke Jepun minggu hadapan menyertai Asia Triathlon 2024 di Osaka.

GRACE AISYAH KEDAYAN