KANGAR, 18 Mei - Ketiadaan dua ratu terjun negara dalam temasya sukan Olimpik pada tahun ini merupakan peringatan awal kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mencari dan membangunkan bakat baharu dalam sukan terjun di seluruh negara.
Ia juga dilihat merugikan negara berikutan acara sukan terjun merupakan antara acara yang berpeluang menyumbangkan pingat kepada negara di temasya antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, perkara itu merupakan sesuatu yang harus diambil serius.
Selain KBS, setiap negeri perlu memandang dengan lebih jauh dalam menghasilkan bakat baharu dalam sukan terjun.
"Saya fikir ini merupakan peringatan apabila Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri tidak dapat pergi ke olimpik, sukan ini adalah fomula yang sangat mudah, anda melabur dalam sukan anda melihat hasilnya. Tetapi kita tidak boleh sentiasa bergantung kepada Pandalela dan Dhabitah.
"Seperti sebelum ini kita bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David. Kita perlu hasilkan atlet baharu, jadi kita tidak boleh bergantung kepada beberapa atlet untuk mendapatkan pingat, bakat. Ini sangat penting," kata Hannah kepada media selepas melawat Program Fast Track Kebangsaan di Kompleks Renang Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, di sini.
Sebelum ini, negara menerima tamparan hebat apabila hanya Bertrand Rhodict Lises yang akan menjadi penerjun tunggal negara dalam temasya Olimpik di Paris berbanding penyertaan yang berganda daripada atlet negara dalam sukan terjun pada beberapa temasya Olimpik sebelum ini.
Manakala ketiadaan Pandalela Renong dan Nur Dhabitah Sabri sudah pasti semakin mengecilkan lagi peluang Malaysia untuk meraih lebih banyak pingat.